THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, 24 March 2008

KEWAFATAN IBU RASULULLAH S.A.W DAN BAGINDA DIPRLIHARA OLEH DATUK DAN BAPA SAUDARANYA.

Segala puji dan syukur ke hadrat Illahi di atas kesempatan ini..selawat dan salam ke atas junjungan yang terpuji lagi mulia, Rasulullah S.A.W. Semoga usaha ini mendapat berkat dari-Nya..
SELAMAT MEMBACA
  • IBUNYA MENINGGAL DUNIA
Sesudah cukup sebulan Rasulullah dan ibunya menetap di Madinah kerana menziarah makam ayahandanya, mereka pun bersiap- siap untuk pulang ke Mekah. Aminah dan rombonganya kembali pulang dengan menaiki dua ekor unta yang membawa mereka dari Mekah. Tetapi di tengah perjalanan, ketika mereka sampai di Abwa’, Aminah telah jatuh sakit. Setelah menderita akibat kesakitan yang dihadapinya, akhirnya Aminah telah kembali ke alam baqa’ dan dikebumikan di situ.
Umur Rasulullah ketika itu hanyalah enam tahun. Rasulullah kemudianya telah dibawa pulang oleh Ummu Aiman ke Mekah. Pulang dengan hati yang pilu dan sebatang kara. Baru beberapa hari yang lalu Baginda mendengar keluhan ibunya kerana kehilangan ayahnya semasa di dalam kandungan, kini ibunya pula meninggalkan dirinya untuk selama- lamanya. Semenjak itu, hiduplah Rasulullah sebagai seorang anak yang yatim piatu.
  • DATUKNYA MENJAGA BAGINDA.


Rasulullah tidak ditinggalkan bersendirian. Baginda masih mempunyai Abdul Muttalib di sisinya. Seorang datuk tidak akan meninggalkan cucunya yang yatim piatu bersendirian. Oleh itu, Rasulullah telah dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib ketua penduduk Mekah. Walaupun Abdul Muttalib ketua penduduk Mekah, tetapi hidupnya miskin kerana hartanya dihabiskan memberi khidmat dan melayan tetamu- tetamu Kaabah. Daripada itu, boleh dikatakan sejak kecil Rasulullah sudah hidup dalam keadaan susah dan menjadi anak muda yang tahan lasak. Baginda sentiasa menemani datuknya di dalam majlis- majlis yang dihadirinya. Selama dua tahun Baginda menghadiri semua majlis Abdul Muttalib yang sentiasa menerima kunjungan demi kunjungan daripada semua pembesar Arab.

  • SEMASA DI BAWAH JAGAAN ABU TALIB.

Selepas Rasulullah berumur lapan tahun, datuknya pula meninggal dunia pada umurnya 80 tahun. Sekali lagi Rasulullah dirundung kesedihan. Rasulullah diasuh pula oleh bapa saudaranya Abu Talib yang juga ketua Mekah. Menggantikan ayahnya Abdul Muttalib. Sungguhpun Abu Talib bukanlah yang tertua di antara saudara- saudaranya, tetapi dia telah diberi kepercayaan untuk menggantikan Abdul Muttalib menjaga Rasulullah. Ini adalah kerana, walaupun beliau hidup dalam kemiskinan, tetapi beliau mempunyai perasaan paling halus dan terhormat di kalangan masyarakat Quraisy.
Abu Talib mencintai Rasulullah sama sepertimana Abdul Muttalib mencintai cucunya itu. Kerana kecintaanya itu, beliau telah mendahulukan Rasulullah daripada anak- anaknya sendiri. Budi pekerti Rasulullah yang luhur, cerdas, suka berbakti dan baik hati itulah yang telah menarik hatinya.
Sepertimana yang diketahui, Abu Talib lebih miskin daripada Abdul Muttalib. Anak-anaknya semua bekerja membantu kerja- kerja Abu Talib. Rasulullah juga mula bekerja bersama sepupunya membantu meringankan tanggungan Abu Talib. Baginda bekerja sebagai pengembala kambing. Dengan itu, Rasulullah selalu berada di padang pasir, jauh daripada kesibukan kota Mekah. Kadang- kadang berhari- hari dan bermalam- malam Baginda tidak pulang ke Mekah.
Selain itu, semasa hidup bersama bapa saudaranya itu, Rasulullah juga telah belajar berniaga. Ketika umur Baginda 12 tahun, Abu Talib telah keluar untuk berniaga ke Syam. Rasulullah meminta untuk mengikutinya. Akhirnya Abu Talib bersetuju membawa Rasulullah bersama. Inilah kali pertama Rasulullah dapat mengembara keluar daripada Mekah. Pada ketika itulah Rasulullah telah berjumpa dengan Buhaira, seorang paderi. Buhaira telah menasihatkan Abu Talib supaya membawa Rasulullah pulang ke Mekah kerana dikhuatiri apabila tiba di Syam nanti, orang- orang Yahudi dan mereka yang mengenali Baginda akan membunuhnya. Abu Talib mengupah orang menghantar Rasulullah pulang ke Mekah dan dia terus ke Syam menguruskan perniagaanya.
Begitulah kasih sayang Abu Talib terhadap anak saudaranya itu. Baginda Rasulullah S.A.W telah hidup dengan kasih sayang dari ibunya, datuknya dan bapa saudaranya itu. Walaupun Baginda adalah seorang yatim piatu, tetapi Baginda tidak hidup sendirian dan sentiasa dilindungi. Begitulah perjalanan hidup Rasulullah semenjak kematian ibunya.
Semoga kita dapat mengambil contoh daripada ketabahan Rasulullah dalam meneruskan hidup Baginda walaupun tanpa insan tersayang di sisi. Wallahualam..

Sumber rujukan: Biografi Muhammad bin Abdullah- perjalanan hidup seorang nabi oleh Zulkifli Mohd. Yusuff dan Noor Naemah Abd. Rahman.